IBU mana yang tidak risau apabila anak gadisnya tiba-tiba hilang apatah lagi kes penculikan kerap dilaporkan media kebelakangan ini. Khuatir keselamatan anaknya, si ibu membuat laporan polis namun anak yang disangka hilang rupa-rupanya lari dari rumah dan tinggal di rumah teman lelaki.
Itulah sandiwara seorang gadis di Kuantan, Pahang beberapa hari lalu yang menyebabkan ibunya tidak senang duduk. Walaupun malu, dia tetap bersedia memaafkan anaknya. Sayang kepada anak mengatasi segala-galanya. Ibu itu lega apabila mendapati zuriat yang dikandungnya selama sembilan bulan itu masih selamat sedangkan rasa malu akibat perbuatan tidak matang anak gadisnya itu amat berat dan tidak tertanggung. Penulis berasa syukur dengan kematangan ibu bapa anak gadis ini yang sanggup mengambil tanggungjawab menelan kesilapan si anak dan tidak memperbesar-besarkan kejadian itu. Pada masa sama, penulis amat berharap peristiwa si gadis itu menjadi bahan berita utama di seluruh negara yang menyangka dia diculik oleh orang tidak dikenali sebagai suatu pengajaran pahit yang mematangkan diri.
Apa jua masalah yang dihadapi perlulah diselesaikan dengan cara baik dan bijak. Menyelesaikan masalah dengan mencipta masalah lain hanya akan memburukkan keadaan. Menarik perhatian semua orang, kisah kanak-kanak hilang berlaku berturut-turut sepanjang bulan ini. Paling tragis membabitkan Dirang, kanak-kanak berusia lima tahun di Johor yang diculik sebelum ditemui mati rentung berhampiran kediamannya.
Kejadian malang seperti ini pasti menghantui pemikiran setiap ibu bapa yang pada hakikatnya tidak mampu mengawasi anak-anak mereka pada setiap masa. Di sinilah pentingnya peranan dan fungsi masyarakat sekeliling. Mulai hari ini, setiap orang khasnya ketua keluarga bertanya kepada diri masing-masing, “Adakah aku seorang pelindung yang baik buat ahli keluargaku?” Peranan sebagai pelindung bukanlah bermakna seseorang ibu atau bapa perlu menjaga dan berdamping dengan anak-anak sepanjang masa. Malah amatlah tidak munasabah kerana mereka perlu keluar bekerja dan menguruskan hal-hal lain di luar rumah. Di sinilah kita harus akur dengan fitrah kehidupan iaitu membina hubungan dan kebergantungan sesama manusia iaitu hidup bermasyarakat. Malangnya masyarakat masa kini dibentuk oleh individu yang bersikap menyendiri dan individualistik. Masing-masing berusaha membina tembok kehidupan dan bergerak dengan kenderaan yang makin pantas serta cermin kian gelap. Wajah pula makin serius dan hanya tersenyum dalam majlis rasmi sesama kenalan rapat. Sudahnya, budaya bertanya khabar dalam kalangan jiran hanya berlaku setakat anggukan kepala dan angkat tangan. Anak-anak kita membesar dan terperangkap dalam budaya individualistik ini. Mereka terperap dalam kehidupan yang amat terbatas di rumah sendiri. Ibu dan bapa yang sentiasa sibuk dengan kerjaya semakin hilang masa berkualiti. Jika sewaktu kecil anak-anak sentiasa ditimang dan dikelek, kini anak-anak yang meningkat remaja hanya dibelai dengan pandangan mata. Sedangkan hakikatnya anak-anak ini tetap memiliki jiwa dan emosi yang sentiasa mahu diambil perhatian seperti dulu. Usia yang bertambah tidak selari dengan darjah perhubungan dan pemahaman ibu bapa. Terdapat ibu bapa yang gagal menangani perubahan sosial anak-anak dengan cara yang matang. Sering berlaku pertembungan antara kehendak anak- anak dengan pemahaman dan kesediaan ibu bapa. Hal sedemikian lebih menyukarkan kepada anak- anak yang berada dalam situasi ibu atau ayah terpaksa terpisah lokasi akibat tuntutan tugas dan kerjaya.
Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati antara punca utama terjadinya masalah di kalangan remaja di rumah ialah disebabkan wujud masalah hubungan antara anak dan ayah. Kebanyakan ayah hilang watak dan figuranya di mata anak-anak. Seorang ayah sepatutnya semakin matang, tegas dan penyayang serta memahami kehendak anak-anaknya. Seiring dengan pertambahan usia si anak, seorang ayah perlu meningkatkan penguasaan ilmu, penghayatan agama dan kewibawaan. Sebagai seorang Muslim, seorang ayah perlulah mampu mengimamkan solat dan bijak menegur perlakuan anak dengan penuh kasih sayang tanpa menjatuhkan air muka si anak yang kini meningkat remaja.
Setiap keputusan yang diberikan perlu adil dan ada asas kukuh. Seorang bapa jangan membuat keputusan atas kepercayaan dirinya berkuasa sebagai seorang bapa. Harus diingat anak-anak zaman ini amat peka dengan suasana sekeliling. Mereka tahu kriteria seorang ibu dan bapa yang baik atau buruk kerana maklumat ini terpapar secara meluas dalam setiap drama dan naskhah bacaan. Malah seorang anak sentiasa membuat perbandingan mengenai sikap, pemikiran dan perlakuan ibu bapanya dengan orang lain. Justeru, penting bagi kita untuk menjadi ibu bapa yang terbaik di mata anak-anak.
Sekiranya kita gagal menjadi ibu bapa yang mampu bersifat terbaik, ditakuti anak-anak ini akan beralih kepada watak lain yang bernilai baik buat mereka. Watak asing ini mencelah di sebalik kegagalan watak ibu dan bapa di kalangan anak-anak. Bagi remaja perempuan, memang tidak dapat dielakkan sebahagian besarnya beralih pergantungan jiwa dan rasa kepada teman lelaki masing -masing. Penulis faham tentunya hakikat ini amat pahit untuk ditelan dan amat ngeri untuk dihayati. Namun inilah natijahnya apabila ayah atau ibu hilang ciri-ciri romantis, sabar mendengar dan penuh perhatian. Lebih menakutkan, rasa kosong dan lompang yang wujud dalam setiap hati nurani anak-anak ini secara tidak disedari dapat dihidu kasanova yang kadangkala menyamar sebagai lelaki budiman sewaktu berhubung dengan anak-anak gadis kita di laman sosial seperti facebook atau twitter. Akhirnya jiwa dan raga anak-anak gadis kita terbuai dek fantasi palsu yang diciptakan kasanova dan lelaki jahat yang sentiasa rakus mengintai peluang. Penulis melihat masalah yang berlaku sekarang kerana ramai ibu bapa hilang upaya sebagai seorang pelindung yang baik. Ramai ibu bapa yang melaksanakan tugas menjaga anak-anak hanya kerana mereka ditakdirkan memiliki anak. Malah terdapat ibu bapa yang menganggap anak-anak sebagai beban kepada mereka. Adalah tidak adil bagi kita untuk menjadikan alasan tekanan hidup sebagai punca untuk kita mengabaikan tumpuan dan perhatian kepada anak-anak. Setiap ibu bapa perlu memandang ke hadapan dan merancang dengan rapi kehidupan walaupun hidup diulit kesusahan. Sekiranya rakyat asing mampu bekerja dan menyara anak-anak yang ditinggalkan di negara masing-masing, mengapa pula ada warga negara sendiri yang memberikan alasan tidak mampu mencari nafkah untuk menyara dan menjaga anak- anak dengan baik di negara yang makmur ini? Menyediakan persekitaran yang selesa dan selamat menjadi tugas setiap ibu bapa. Jika persekitaran ini kita tidak mampu sediakan sendiri, inilah masanya kita perlu melangkah keluar dari pintu pagar rumah kita dan mengajak rakan-rakan sejiran membina persekitaran selesa ini bersama-sama. Banyak contoh kejayaan kumpulan atau pertubuhan kejiranan yang boleh dijadikan ikutan. Semuanya bermula dengan sikap dan kehendak diri sendiri. Perlu ada seorang individu atau kumpulan yang berani mengambil tanggungjawab memulakannya di sekitar tempat tinggal masing-masing. Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM.
*dipetik dari Metro 26 April 2012